Jika tanya kepadaku bagaimana hendak mendapat Jiwa Yang Tenang, aku sendiri tidak tahu, masih dalam pencarian. Sebenarnya isu jiwa yang tidak tenang ini merupakan isu yang sangat universal. Manusia yang di dalam pencarian jiwa yang tenang biasanya akan mencari Illahi untuk bertemu cinta yang abadi. Sebagai seorang Muslim, Islam mengajarkan kita untuk berzikir supaya dengan zikir itu akan menjadikan kita tenang.
Tahun ini aku diduga dengan macam-macam dugaan, dengan setiap dugaan itu aku redha. Setelah lama tidak merasa kebahagiaan, aku bercadang untuk mengandung semula, semoga dengan itu aku akan dapat merasa kegembiraan semasa melahirkan anak-anak aku dulu. Semasa mendapat tahu aku mengandung, gembiranya tidak terkira ibarat perempuan tua yang dambakan seorang anak perempuan. Tetapi kegembiraan itu tidak lama. Hanya 2 bulan, selepas itu aku keguguran. Jiwa hancur luluh, rasa macam meroyan, kesedihan tidak tertanggung. Setiap kali teringat, menangis, menangis dan menangis. Sehingga terbawa ke pejabat, kerana perasaan itu tidak dapat ditahan. Kesihatan diri sendiri pun tak jaga kerana sedih, tiada pantang dan sebagainya. Yang ada hanyalah kesedihan.
Tidak lama selepas itu kawan-kawan baik aku pula kesemuanya bertukar, A.A. dan A.M. Bertukar ke luar daerahku. Ya Allah, bertambah lagi kesedihan. Kawan-kawan itulah sahabat berkongsi kegembiraan dan kesedihan. Tinggallah aku seorang di pejabat ini tanpa kawan-kawan baik. Bertambah kosong hidup ini...